PESANAN UNTUK PEMUDA-PEMUDI ISLAM
Masa muda adalah masa yang penuh kekuatan dan dinamisme yang memancar. Kerana itu, tanggungjawab terhadap masa ini jauh lebih besar. Pada hari kiamat nanti, setiap orang akan diberi pertanyaan tentang empat hal pokok di antaranya menyangkut usia secara umumnya dan masa muda secara khususnya.
Sejarah mencatatkan;
Pengikut Nabi Musa adalah pemuda-pemuda kaumnya yang sedang berkembang. Allah berfirman, “Maka tidak ada yang beriman kepada Musa, melainkan pemuda-pemuda dari kaumnya dalam keadaan takut bahawa Firaun dan pemuka-pemukanya akan menyiksa mereka.” (Yunus: 83)
Ashabul Kahfi yang diabadikan oleh Allah dalam kitabnya yang mulia terdiri dari pemuda. Al Quran menyebut, “Kami ceritakan kisah mereka dengan benar, sesungguhnya mereka adalah pemuda-pemuda yang beriman dengan tuhan mereka dan kami tambahkan kepada mereka pertunjuk.” (Al Kahfi: 13)
Ibnu Abbas berkata, “Allah tidak akan mengutuskan seorang Nabi melainkan dari kalangan pemuda. Seorang yang berilmu tidak akan dikurniakan ilmu kecuali ia sedang tumbuh sebagai pemuda.”
Para sahabat Rasulullah di peringkat awal dakwah terdiri dari kalangan pemuda, paling tua di kalangan mereka adalah Abu Bakar As Siddiq yang berumur 38 tahun ketika memeluk Islam dan paling muda adalah Ali bin Abi Talib yang belum genap usianya sepuluh tahun. Tidak menghairankan, kebelakangan ini yang banyak mengibarkan panji Islam adalah pemuda.
Musuh Allah tentunya ingin membelengu pemuda-pemudi dalam bingkai kekufuran. Mereka perlu dibaratkan, baik agama atau kehidupannya, mereka perlu dijauhkan dari Islam samada pemikiran, tingkah laku, kepercayaan supaya mereka hidup di tengah-tengah kelompok Islam dan ketimuran tetapi akal dan hati mereka tidak mencerminkan sosok peribadi muslim. Begitulah yang mereka inginkan.
Tetapi, Allah telah menyiapkan pemuda-pemudi yang siap mendukung agama, risalah dan dakwahnya. Di pelbagai negara telah muncul generasi baru yang tidak gentar untuk memikul amanah membawa risalah Islam, berusaha untuk hidup sesuai dengan ajaran Islam bahkan hidup dan mati untuk Islam. Itulah Islam. Itulah keabadian agama ini. Agama ini selalu ada yang menjaganya. Apabila ada sekelompok orang yang masih membawa pemikiran sihat di kepala, iman yang kuat di dada, akhlak terpuji di tengah ummat manusia, amal soleh di dalam kehidupan ini, maka berbahagialah.
Adalah suatu nikmat Allah yang besar apabila kita masih mendapati adanya muda-mudi muslim di wilayah timur mahu pun barat. Adalah suatu rahmat untuk ummat ini apabila masih ada muda-mudi Islam yang melazimkan bangun malam, rajin berpuasa pada Isnin dan Khamis serta membasahkan lidah dengan bacaan Al Quran. Inilah muda-mudi rabbani yang sentiasa berusaha untuk hidup dan melestarikan Islam di dalam kehidupan.
Para pemuda mempunyai beberapa tanggungjawab berat di era ini.
1. Menjaga Identiti Muslim
Jagalah identiti keislaman kita wahai para pemuda dan pemudi. Janganlah meleburkan diri di tengah masyarakat hingga tenggelam dan rugi. Apa ertinya gelar dan darjat keilmuan yang dimiliki andai kita kehilangan darjat di sisi Allah. Apalah ertinya satu syahadah (ijazah) andai kita kehilangan dua syahadah, tiada tuhan kecuali Allah dan Muhammad adalah utusan Allah. Apalah ertinya mengumpul kekayaan duniawi tetapi kita menuai kerugian dalam kehidupan beragama.
Sesungguhnya Allah disembah di mana sahaja. “bertaqwalah kepada Allah di mana saja kamu berada…” Itulah wasiat Rasulullah untuk kita. Jagalah solat, puasa, zakat dan berpantanglah dari hal-hal yang diharamkan oleh Allah serta perhatikanlah cabang-cabang agama Allah di mana saja kita berada yang merangkumi kehidupan dunia dan akhirat, menyelaraskan akal dan hati, mempertemukan roh dan material, menyeimbangkan antara individu dan masyarakat.
Yakinlah dengan izzah kurnian Allah kepada kita, bahawa kitalah ummat yang memiliki manhaj yang tepat, hanya kita yang memiliki dokumen samawi yang tak terusik dan terjamah dan tidak mampu dirubah. Kitalah yang memiliki Al Quran yang mulia itu.
2. Menjaga Keturunan dan Keluarga
Tidak seharusnya kita menjaga identiti keislaman kita sendiri tetapi membiarkan identiti keturunan dan keluarga mencair dan hanyut bersama keadaan sebagaimana mencairnya mentega di bawah teriknya sinaran matahari. Jagalah keislaman anak, isteri, suami dan keluarga kita kerana pastinya kita tidak ingin ke syurga seorang diri kalaupun dibolehkan begitu. Apatah lagi tentunya tidak dibolehkan kerana setiap insan adalah pemimpin dan kita akan dipertanggungjawabkan dengan apa yang kita pimpin.
Allah berfirman, “Wahai orang-orang beriman, peliharalah dirimu dan keluargamu dari api neraka yang bahan bakarnya adalah manusia dan batu.” (At Tahrim: 6)
Nyatakanlah dengan bangganya bahawa kita dan keturunan kita adalah muslim. Allah tiada membanggakan seseorang kerana berbangsa Arab atau lainnya melainkan kerana ia seorang muslim.
3. Mendakwahkan Islam
Wahai para pemuda Islam, selanjutnya kita harus hidup untuk menyebarkan Islam. Peruntukan masa, tenaga, buah fikiran dan wang ringgit kita untuk menebar ajaran agama ini. Jangan pernah beranggapan bahawa dakwah Islam hanyalah tugas para syaikh dan ulama. Bukan! Setiap muslim memikul kewajipan.
Semua Muslim diseru oleh Allah, “Serulah manusia kepada jalan Allah dengan hikmat dan pengajaran yang baik dan berdebatlah dengan mereka dengan cara yang lebih baik.” (An Nahl: 125)
Setiap orang berkewajipan menebar dakwah sesuai dengan kemampuan masing-masing. Ada yang berdakwah dengan menulis buku, ada yang berdakwah dengan menyelenggara ceramah, forum dan diskusi, ada yang berdakwah melalui khutbah, ada yang berdakwah dengan kata-kata yang baik, ada yang berdakwah dengan contoh dan tauladan bahkan ada yang berdakwah dengan ziarah dan mengunjungi.
Sungguh sangat memalukan jika setiap agama, falsafah dan kepercayaan lain memiliki para penyeru, pendokong, pengikut dan penjaganya yang berusaha untuk menyebarkan dan membangunkan semua itu sementara Islam tidak mendapat sokongan dan dokongan dari para pengikutnya. Tidak! Hal ini tidak boleh terjadi, wahai para pemuda muslim.
Saya pernah terbaca suatu ungkapan, ‘Alangkah hebatnya kalau agama ini didokong oleh pendokong-pendokong yang hebat.” Perhatikan dengan saksama bahawa Islam mempunyai lebih dari satu billion jiwa yang menganutnya, tetapi kebanyakkan mereka tidak dianggap sebagai orang yang mendokong Islam. Kita tidak menghendaki banyaknya ummat seumpama buih di tengah air yang mengalir.
4. Memberikan Perhatian Terhadap Persoalan Kaum Muslimin
Selanjutnya, janganlah kita meninggalkan saudara-saudara seagama kita sesama muslim. Hubungan silaturahim antara kita dan mereka hendaklah sentiasa terjalin. “Sesungguhnya orang-orang mukmin itu bersaudara.” (Al Hujurat: 10)
Sesunggunya kuasa Salib dan Komunis telah mencerai-beraikan kita, sehingga antara satu sama lain telah tidak saling peduli, kita tidak merasai lagi kesakitan dan penderitaan sesama saudara.
Masyarakat muslim adalah satu ummat. Allah tidak menyebut kita sebagai beberapa umam (bangsa). Sebagai muslim, bangsa kita satu, kiblat kita satu, kitab kita satu, Tuhan kita satu, Nabi kita satu, aqidah kita satu, syariat kita juga satu. Maka sampai bila-bila pun bangsa ini tidak boleh dipisah-pisahkan.
5. Saling Membantu Memberikan Khidmat Untuk Islam.
Tanggungjawab yang besar dan berat mustahil dapat dipikul secara berseorangan dan menyendiri. Kita tidak mampu menjaga keislaman diri sendiri, keluarga dan masyarakat secara bersendirian. Ombak besar akan menghempas kita dan kita akan tenggelam dan hilang. Amanah ini bisa kita penuhi andai kita bergandingan tangan bersama saudara muslim yang lain. Jamaah adalah kekuatan untuk membangunkan ketaatan, perisai diri dari maksiat, kemampuan untuk menghadapi lawan dan tenaga untuk memecah persoalan.
Kita seorang diri dikira lemah. Tetapi bersama saudara-saudara yang lain kita akan diperhintungkan kuat.
Syaitan adalah serigala bagi manusia yang akan menerkam kambing yang bersendirian. Maka janganlah kita menjadi binatang gembalaan yang terpisah dari kawanan sehingga kita dimangsakan serigala.
Apabila orang-orang yang batil bersatu sementara kita sebagai penegak kebenaran bercerai-berai, maka bencana besar akan melanda. Bersatu padulah wahai pemuda-pemuda Islam.
Al Quran menyebut, “Adapun orang-orang yang kafir, sebahagian mereka menjadi pelindung bagi sebahagian yang lain. Jika kamu wahai kaum Muslimin tidak melaksanakan apa yang telah diperintahkan oleh Allah, nescaya akan terjadi kekacauan di muka bumi dan kerosakan yang besar.” (Al Anfal: 73)
Kalaupun tidak ada nas yang memerintahkan kita supaya bersatu, maka demi kemaslahatan dan keharusan, kita tetap akan hidup berjamaah. Apatah lagi jika di sana nas-nas yang banyak mewajibkan kita supaya bersatu. Firman Allah, “Sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang berperang di jalannya dalam barisan yang teratur seakan-akan mereka seperti suatu bangunan yang tersusun kukuh.” (As Saf: 4)
Intipatinya,kita harus sentiasa memelihara keislaman. Jadikanlah identiti keislaman kita kukuh dan kuat, tidak mudah larut dan mencair. Jangan kita menyangka bahawa manusia yang pernah menjejakkan kaki ke bulan tidak lagi memerlukan Islam. Mungkin saja mereka mampu ke angkasa, menjelajah ke planet, membelah lautan luas, mendaki puncak tertinggi di dunia tetapi tetap mereka tidak akan mampu membahagiakan diri mereka sendiri tanpa Islam.
Kehidupan bertamaddun mengikut pengertian barat tidak akan mampu mengenyangkan rasa lapar rohani, tidak mampu mengisi kekosongan aqidah, tidak memberikan keamanan dari rasa takut, tidak memperkenalkan tujuan kehidupan ini, dari mana kita, apa tanggungjawab kita dan di mana kesudahan kita?
Pertanyaan sebegini seringkali muncal di benak setiap insan. Dari mana aku berasal? Apa tujuan kehidupanku? Ke mana akan ku tuju selepas mati? Tamaddun manusia tidak mampu memberikan jawapan terhadap persoalan rumit ini. Satu-satunya agama yang mampu memberikan jawapan adalah Islam. Inilah agama yang moderate, manhaj rabbani, berkemanusian, bermoral dan bersifat global.
Semoaga Allah memberikan keampunan atas dosa-dosa kita dan berdoalah kepada Allah, nescaya Allah akan mengabulkan doa kita.





