Siaran ulangan Kerajaan Negeri
Siaran ulangan Kerajaan Negeri
Sinar Harian, 06 Oktober 2011

Ahli Jawatankuasa Badan Perhubungan Pas Terengganu, Dr Azman Ibrahim (gambar) berkata, untuk berlaku adil, rakyat perlu berterima kasih atas keprihatinan Kerajaan Negeri dengan keperluan rakyat, walaupun usaha dijalankan itu adalah sekadar ulangan.
“Apakah ini langkah terdesak pemulihan imej menjelang Pilihan Raya Umum Ke 13 (PRU 13), atau memang kerana keikhlasan kerajaan untuk merealisasikan slogan merakyatkan pentadbiran?
“Terpulanglah kepada rakyat menilainya,” katanya kepada Sinar Harian ketika merujuk laporan akhbar ini berhubung usaha Kerajaan Terengganu yang telah mengagihkan 158 geran tanah kediaman dan tanah pertanian di kawasan Dun Batu Rakit kepada penduduk kawasan itu, kelmarin.
Mengulas lanjut, Dr Azman yang juga Naib Yang Dipertua Pas Kawasan Setiu, berkata, tiada siapa yang menafikan keperluan rakyat memiliki kediaman dan sebidang tanah pertanian untuk bercucuk tanam mencari rezeki.
Menurutnya, atas keperluan itulah kerajaan pimpinan Pas Terengganu sebelum ini, walaupun dalam tempoh singkat telah mengambil langkah bijak mengagihkan lot-lot tanah kediaman dan pertanian dalam bentuk Rancangan Tanah Berkelompok (RTB) kepada rakyat yang berhak.
“Agenda itu menjadi antara fokus utama Kerajaan Terengganu di bawah pimpinan Pas antara 1999 hingga 2004 yang telah menyelesaikan agihan kira-kira 60,000 lot tanah RTB untuk diagihkan kepada rakyat tidak memiliki tanah di Terengganu.
“Ia diberikan dalam bentuk pemberian Lesen Menduduki Sementara sebelum proses pemberian geran kekal dilakukan. Langkah Kerajaan Negeri ini juga secara langsung mengiktiraf perancangan rapi dan tindakan bijak kerajaan Pas sebelum ini,” katanya.
Bagaimanapun, katanya, usaha murni peninggalan kerajaan Pas itu bukan hanya telah dimusnahkan oleh bekas Menteri Besar sebelum ini, bahkan sebaliknya cuba menampilkan imej prihatin dan cakna rakyat.
Menurutnya, rampasan lebih 60 lot tanah RTB Kubang Labi, Banggol bagi kawasan Dun Permaisuri untuk diserahkan kepada sebuah syarikat dengan taraf pajakan bagi dimajukan dengan projek kolam udang berlaku pada zaman Ahmad Said sebagai Menteri Besar.
Tambahnya, jika sekadar tindakan cuba memulihkan imej dengan menyalahgunakan program kerajaan, bermodalkan lagak prihatin dengan keperluan rakyat di saat hampirnya PRU 13, tentu ia tidak lebih daripada sekadar ulangan gimik politik yang tidak berkesudahan.




